You Are Here: Home - Fikrah - Teks Ucapan Konvensyen Sunnah Ke-3

"Apabila manusia memahami al-Quran dan al-Sunnah selaras dengan manhaj salaf dan menolak kefahaman yang menyanggahi kedua sumber agung itu, maka itu adalah kejayaan bagi dakwah kita. Kecil atau besar, tua atau muda, UMNO atau PAS bukanlah persoalan bagi kita. Kita tidak perlu membezakan manusia disebabkan jenama-jenama tertentu. Islam untuk semua, parti-parti politik atau organisasi adalah jelmaan baru yang tidak memberikan apa-apa makna pun selagi seseorang itu ikhlas dalam akidah dan pegangannya terhadap al-Kitab dan al-Sunnah."

Teks Ucapan
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Sempena Konvesyen Sunnah ke-3/ 2007
Pada: 24 Novermber 2007

LUASKAN RUANG, MANFAATKAN PELUANG

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله، نحمده ونستعينه، ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا، من يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، أما بعد:

Dalam sejarah dakwah Rasulullah s.a.w, baginda banyak mengambil manfaat daripada berbagai ruangan atau kesempatan selagi mana ianya tidak menggadaikan prinsip-prinsip Islam. Gerakan dakwah para pencinta Rasulullah s.a.w juga hendak mempelajari fiqh al-Sirah untuk kegunaan dakwah. Mempelajari tentang keluasan pandangan dan kehalusan strategi adalah sesuatu yang dituntut demi menjaya agenda dakwah dan seruan tajdid yang kita bawa.

Kejelasan Matlamat Dan Landasan

Saudara-saudari sekalian,

Perkara yang paling utama yang mesti kita jelas dalam perjuangan kita ini adalah matlamat yang ingin kita capai. Jika kita jelas hal ini, maka strategi dan jalan-jalan yang akan kita lalui juga akan menjadi jelas. Tujuan hidup adalah mendapat keredhaan Allah azza wa jalla. Matlamat perjuangan kita bagi membolehkan tujuan tersebut dicapai adalah menegakkan ajaran dan kefahaman Islam yang benar-benar bersumberkan isi dan inti kandungan al-Quran dan al-Sunnah. Apabila manusia memahami al-Quran dan al-Sunnah selaras dengan manhaj salaf dan menolak kefahaman yang menyanggahi kedua sumber agung itu, maka itu adalah kejayaan bagi dakwah kita. Kecil atau besar, tua atau muda, UMNO atau PAS bukanlah persoalan bagi kita. Kita tidak perlu membezakan manusia disebabkan jenama-jenama tertentu. Islam untuk semua, parti-parti politik atau organisasi adalah jelmaan baru yang tidak memberikan apa-apa makna pun selagi seseorang itu ikhlas dalam akidah dan pegangannya terhadap al-Kitab dan al-Sunnah. Bagi kita ‘market’ dakwah kita terbuka untuk semua orang muslim. Bahkan kita juga disasarkan kepada mereka yang bukan muslim. Firman dalam Surah al-Haj:

(Maksudnya) 77. Wahai orang-orang Yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat). 78. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamaNya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: “muslimun” semenjak dahulu dan dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi ke atas kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi saksi kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). oleh itu, dirikanlah solat, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.

Allah menabalkan kita semua dengan tanggungjawab dakwah, menyuruh kita berjihad pada jalannya dan menamakan kita ‘muslimin’. Kita berbangga dengan panggilan yang Allah berikan. Allah tidak menamakan kita dengan ahli parti politik atau pertubuhan tertentu sehingga membentuk sikap asabiyyah yang membawa permusuhan sesama muslim. Apa yang disuruh kepada kita adalah berpegang kepada ajaran al-Kitab dan al-Sunnah. Sudah tentu pula kefahaman terhadap al-Kitab dan al Sunnah itu seperti yang dianuti oleh generasi al-salaf al-salih. Sesiapa sahaja yang berakidah dan memegang kefahaman Islam yang bebas dari syirik, khurafat dan tokok tambah yang tidak diizinkan syarak maka dia adalah sejalan dan berada di atas landasan kita. Sesiapa yang melanggar pantang larang ini, mereka bukan di kalangan kita. Mereka telah menempuh jalan yang salah. Namun, kita tidak mengkafirkan sesiapa dari kalangan kaum muslimin hanya kerana dosa yang dilakukan selagi tidak ada alasan yang kukuh tentang kekufurannya. Bahkan kita menyeru mereka kembali kepada jalan Islam yang asal. Ini kerja kita. Kita tidak pernah membataskan dakwah kita untuk parti atau puak atau bangsa atau negeri tertentu sahaja. Namun kita akan menyebarkan dakwah ini -dengan kadar yang diizinkan Allah- untuk semua mukallaf.

Market Dakwah Kita

Saudara-saudari sekalian,

Di mana ada bumi yang subur di situ kita bercucuk tanam. Demikianlah dakwah ini. Walaupun Mekah mempunyai Kaabah dan al-Masjid al-Haram, namun baginda s.a.w terpaksa meninggalkannya, apabila ia tidak subur untuk dakwah pada peringkat awalnya. Sekalipun orang Yathrib, bukan terdiri dari masyarakat beragama dan mempunyai latar pengetahuan tentang agama langit, namun baginda Nabi s.a.w. berhijrah kepada mereka, disebabkan kesediaan mereka menerima risalah dakwah.

Demikian golongan Ahlul Kitab, sekalipun mereka mempunyai latar pengetahuan tentang kitab-kitab terdahulu, namun merekalah orang yang paling kuat menentang dakwah Rasulullah s.a.w.. Firman dalam Surah al-Baqarah ayat 146:

(maksudnya) Orang-orang yang Kami berikan kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. dan sesungguhnya sebahagian dari mereka menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui.

Justeru itu tidak hairan, jika ada pertubuhan atau individu yang berjenama Islam namun kurang mesra dengan seruan tajdid kepada Islam tulen yang kita bawa. Bahkan sebahagian mereka menentang dakwah ini. Ia berlaku sejak zaman awal lagi. Maka kita wajar mengambil langkah dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. di mana sahaja ada bumi yang subur, di situ kita menabur benih dakwah ini. Sekalipun individu atau organisasi tertentu tidak dikenali dengan jenama Islam atau dianggap tidak bersifat islamik. Siapa sangka orang yang seperti ‘Umar bin al-Khattab akhirnya menjadi tokoh agung umat?!. Siapa sangka Khalid al-Walid yang pernah menumpas umat Islam dalam Perang Uhud, akhirnya menjadi panglima Islam yang tiada tolok bandingnya. Medan atau pasaran dakwah terbuka luas. Allah memberikan petunjukNya kepada sesiapa yang yang dikehendaki. Dia juga boleh menyesatkan sesiapa yang dikehendaki, sekalipun ahli agamawan. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah 213:

(maksudnya) Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran. Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab yang benar, untuk menjalankan hukum antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci itu (ulama Ahlul Kitab) , iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).

Saudara-saudari sekalian,

Maka bukanlah sesuatu yang pelik, jika tokoh-tokoh dakwah, atau gerakan dakwah ini menghampiri individu atau organisasi yang kurang islamik pada zahirnya, jika ternyata ada potensi dakwah yang jelas di situ.

Berpayung Ditempat Teduh Selagi Tidak Merbahaya

Saudara-saudari sekalian,

Dalam sejarah dakwah, Nabi s.a.w. telah mendapat perlindungan dari Abu Talib bapa saudaranya. Abu Talib bukanlah seorang muslim yang menganut akidah Islamiyyah yang sebenar. Namun, perlindungan yang diberikan oleh Abu Talib dapat memelihara dakwah, maka sepanjang hidup Abu Talib, Nabi s.a.w berlindung dengan pengaruh yang dimiliki oleh Abu Talib. Demikian baginda pernah mendapat pelindungan dari kepala Quraish yang satu ‘club’ dengan Abu Jahal dan Abu Lahab iaitu al-Mu’im bin ‘Adi yang kafir itu. Al-Mu’im melindungi baginda ketika pulang dari Taif untuk memasuki Mekah. Baginda mengenang jasa al-Mu’im ini sehingga baginda bersabda dalam riwayat al-Imam al-Bukhari mengenai tawanan Badar:

لَوْ كَانَ الْمُطْعِمُ بْنُ عَدِيٍّ حَيًّا ثُمَّ كَلَّمَنِي فِي هَؤُلَاءِ النَّتْنَى لَتَرَكْتُهُمْ لَهُ

(Jika al-Mu’im bin ‘Adi masih hidup, lalu memohon kepadaku untuk mereka yang busuk itu, nescaya aku akan berikan mereka kepadanya).

Maka gerakan dakwah boleh mendapatkan perlindungan dari sesiapa sahaja yang tidak menyebabkan tergadainya prinsip-prinsip asas bagi dakwah ini. Apatah lagi jika yang melindungi itu adalah mereka yang mendokong akidah dakwah. Hal ini al-hamdulillah- berlaku di Perlis dan semoga berlaku di daerah atau negeri lain juga.

Semasa dakwah ditindas di peringkat awal, baginda mengarahkan sebahagian para sahabah berhijrah ke Habsyah. Pemerintahnya ketika ialah Najasyi yang masih lagi Kristian yang adil dan dapat melindungi kaum muslimin. Setelah Najasyi menganut Islam, baginda tidak pula menyuruh Najasyi meletakkan jawatannya sekalipun kerajaan yang dikuasainya adalah kerajaan Kristian. Kedudukan Najasyi memberikan manfaat kepada kaum muslimin di negaranya dan juga keadilan untuk rakyatnya. Ini seperti yang saya sebutkan dalam ucapan tahun lepas. Bahkan Nabi s.a.w dalam hadith al-Bukhari:

عَنْ جَابِرٍ رَضِي اللَّه عَنْه قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ مَاتَ النَّجَاشِيُّ مَاتَ الْيَوْمَ رَجُلٌ صَالِحٌ فَقُومُوا فَصَلُّوا عَلَى أَخِيكُمْ أَصْحَمَةَ

Daripada Jabir r.a: Nabi s.a.w bersabda -ketika kematian Najasyi-: Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)”.Ini adalah tanda redhanya baginda dengan pendekatan yang diambil oleh Najasyi.

Saudara-saudari sekalian,

Maka, setelah sekian lama gerakan tajdid mendapat gangguan hebat dari pihak-pihak yang berkepentingan sehingga begitu diganggu tidak habis-habis. Maka apalah salahnya jika kita mula bergerak mendapat ruang perlindungan dari golongan yang mempunyai kekuasaan politik khususnya, bagi membolehkan ruang dakwah ini dibuka untuk kita. Juga kita wajar berfikir agar ‘orang yang mendokong, atau sekurang-kurangnya menyokong dakwah’ sampai ke kerusi-kerusi kuasa agar dakwah dapat dilindungi. Pemikiran yang seperti ini memerlukan perancangan yang baik dan kesabaran yang tinggi.

Penggunaan Media

Media adalah saluran maklumat untuk manusia di zaman ini. Sehingga ada manusia yang mempercayai media, lebih dari segalanya. Gerakan dakwah ini mestilah mengambil ruang dalam penggunaan media. Kita mempunyai jumlah penulis yang ramai. Mereka hendaklah bersungguh-sungguh berusaha agar kefahaman tajdid ini termuat dalam ruangan media yang ada. Al-hamd lillah, sebahagian dari tulisan sahabat-sahabat kita mula disiarkan dalam beberapa media. Kita mesti makin bersungguh dengan usaha yang lebih. Demikian kita perlu memeriahkan ruangan internet dengan fikrah kita. Para web masters dan bloggers kita hendaklah sentiasa bermesyuawarah dan merancang strategi yang mantap. Demikian juga kita memerlukan persatuan penulis kita yang dapat dihormati dan amat produktif. Bahkan kita memerlukan karyawan yang mampu menghasilkan filem atau drama yang menanamkan fikrah yang kita bawa ini. Firman Allah dalam Surah al-Taubah 105

(maksud) ”Dan katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan rasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.

Manfaatkan Kepakaran

Saudara-saudari sekalian,

Akhirnya, seperti yang kita maklum, gerakan kita membesar dalam hari-hari akhir ini begitu pantas. Fikrah kita juga tersebar dengan meluaskan dan cergas. Ramai cerdik pandai dan manusia yang berkebolehan menyertai dan mendokong dakwah ini. Atau mereka bersimpati dengan tujuan dakwah ini. Kita hendaklah pandai memanfaatkan kepakaran yang ada agar memberikan pulangan yang positif kepada dakwah.

النَّاسُ مَعَادِنُ كَمَعَادِنِ الْفِضَّةِ وَالذَّهَبِ خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الْإِسْلَامِ إِذَا فَقُهُوا

Manusia bagaikan bahan galian, seperti galian emas dan perak. Mereka yang terpilih semasa jahiliah, terpilih juga semasa Islam sekiranya mereka itu memahami Islam” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim- lafaz Muslim). Maksudnya, bahan galian bernilai yang terpilih ketika berada dalam tanah dan lumpur, juga terpilih apabila berada di tempat yang elok. Demikianlah insan yang menganut Islam, sekiranya dia seorang yang terpilih dengan ciri-cirinya ketika belum berpegang dengan Islam, maka dia juga akan terpilih selepas menganut Islam disebabkan ciri-ciri istimewanya itu. Namun baginda s.a.w. meletakkan syarat, hendaklah dia terlebih dahulu memahami Islam. Bahkan perkataan faquhu atau faqihu yang digunakan dalam hadis tersebut menunjukkan benar-benar memahami hakikat Islam, bukan sekadar cebisannya sahaja.

Maka setiap dari kalangan kita ada kemampuan dan kepakaran atau kelebihannya. Maka setelah dia memahami Manhaj al-Quran dan al-Sunnah ini hendaklah dia dibawa ‘ke tengah’ dalam memberikan sumbangan terhadap masa depan dakwah ini.

Semoga Allah mengikhlaskan niat kita semua. Semoga sahabat-sahabat sekelian mampu pulang dan bekerja dengan lebih ikhlas dan bersungguh sehingga cita-cita dakwah tercapai.

Semoga bermanfaat.
sumber: http://drmaza.com/home/?p=135#more-135 retrived february 05, 2010
Tags: Fikrah

0 comments

Leave a Reply