You Are Here: Home - Adab dan Perilaku Muslim - Adab dan Perilaku Muslim: Larangan Tajassus(Siri 1): Tafsiran Tajassus

InsyaAllah saya akan cut and paste 3 petikan artikel berkenaan tajassus(mengintip). Kalau nak baca artikel penuh, boleh layari link yang diberikan sebab saya akan ambil yang saya rasa sesuai tanpa masukkan apa-apa isu, wallahu'alam

Tafsiran Tajassus (Mengintip Mencari Kesalahan Orang Lain).

Firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Antara ulama tafsir yang memberikan tafsiran yang teliti tentang maksud al-Tajassus dalam ayat ini ialah al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H). Beliau menafsir maksud ayat wala tajassasu (jangan kamu mengintip) tersebut: “Ambil apa yang nyata, jangan kamu mencari-cari keaiban kaum muslimin, iaitu jangan kamu cari keaiban saudaramu untuk kamu melihatnya setelah ALLAH menutup”. Kemudian al-Imam al-Qurtubi telah mengemukakann riwayat-riwayat yang memadai tentang larangan mengintai atau mengintip maksiat orang lain dengan tujuan untuk diambil tindakan. (Lihat: al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 16/333-334, Beirut: Dar al-Fikr t.t.)

Bahkan Syaikh al-Mufassirin, Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) sebelum itu telah menghuraikan dengan jelas maksud ayat ini. Antaranya: wala tajassasu bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya. Nilailah dia atas asas tersebut sama ada baik atau buruk. Jangan kamu mencari kesalahannya. Kata Ibn ‘Abbas: “ALLAH melarang orang mukmin daripada mencari keburukan-keburukan mukmin yang lain. Kata Mujahid: “Ambillah apa yang nyata, dan tinggalkan apa yang ALLAH tutup”. Kata Qatadah: Tahukah kamu apa itu tajassus? Iaitu kamu mencari-cari keaiban saudaramu untuk mengetahui rahsianya. Kata Ibn Zaid: “Tajassus itu kamu berkata: sehingga aku dapat lihat kesalahan itu, aku bertanya mengenainya untuk mengetahui adakah benar atau tidak”.( al-Tabari, Tafsir al-Tabari, tahzib: Dr Salah al-Khalidi, 7/40-41)

Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut: wala tajassasu bermaksud: jangan kamu mencari keaiban dan keburukan kaum muslimin. Jangan kamu singkap apa yang mereka cuba tutupi dan kamu cuba melihat rahsia-rahsia mereka”. Beliau juga menyebut: “Tajassus termasuk dalam dosa-dosa besar, iaitu mencari keaiban yang tersembunyi dan rahsia”.( Al-Zuhaili, Al-Tafsir al-Munir, 255, 263/26, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir 1991)

Sebagai penulis tafsir moden, Sayyid Qutb menyentuh ayat ini dengan begitu mendekati kehidupan muslimin di zaman kini. Antaranya beliau menyebut: “Namun perkara ini kesannya lebih jauh dari itu. Ia adalah prinsip Islam yang utama dalam sistem kemasyarakatannya, juga dalam urusan perundangan dan perlaksanaannya. Sesungguhnya bagi manusia itu kebebasan, kehormatan, kemuliaan yang tidak boleh dicerobohi dalam apa bentuk sekalipun. Tidak boleh disentuh dalam apa keadaan sekalipun.

Dalam masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup dalam keadaan aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia mereka dan aman pada keaiban mereka. Tiada sebarang justifikasi –atas apa alasan sekali pun- untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah, rahsia dan keaiban. Sekalipun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya, tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai.

Hukum manusia berasaskan apa yang zahir. Tiada hak sesiapa untuk mencari-cari rahsia orang lain. Seseorang tidak akan diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang nyata dari mereka….demikianlah nas ini (larangan tajassus) menempatkan dirinya dalam sistem perlaksanaan dalam masyarakat islami. Ia bukan sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia telah menjadi dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan manusia. Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama”.(rujukan: Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al-Syuruq 1992)

Nas-Nas Sunnah Dan Amalan Sahabah Berkaitan Tajassus

Banyak hadith-hadith Nabi s.a.w yang menyentuh hal ini. Bersesuaian dengan tulisan yang ringkas ini, di sini disebutkan antaranya; Daripada Abi Barzah al-Aslami, katanya: Bersabda RasululLah s.a.w: “Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka ALLAH akan mencari keaibannya. Sesiapa yang ALLAH cari keaibannya, maka ALLAH akan mendedahnya sekalipun dirumahnya.( Hadith sahih. Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Dalam hadith lain daripada Mu’awiyah: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya engkau, jika mencari-cari keaiban orang ramai, nescaya engakau merosakkan mereka atau hamper merosakkan mereka. Kata Abu Darda: Itu adalah perkataan yang Muawiyah dengar daripada Rasulullah, ALLAH memberikan manfaat kepadanya dengan perkataan tersebut. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih)

Dalam satu riwayat daripada Zaid bin Wahb, katanya: Dibawa seorang lelaki kepada Ibn Mas’ud, lalu diberitahu kepadanya: Lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abd ALLAH bin Mas’ud: “Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”.( Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih)

Al-Syaikh Salim ‘Id al-Hilali ketika mensyarahkan hadith-hadith Riyad al-Salihin menyebut: “Tajassus bermaksud mencari dan menyelidiki keburukan dan keaiban kaum muslimin. Al-Quran dan al-Sunnah telah melarang hal ini. Sebabnya ia menyakitkan empunya keaiban itu sedangkan dia berusaha menutup dan tidak melakukannya secara terang-terangan. Dilarang berusaha mencari kesalahannya kerana kita disuruh menutup keaiban seboleh mungkin”.( Al-Hilali, Bahjah al-Nazirin, 3/92, Jeddah: Dar Ibn Jauzi 1425H).

Sumber: Dr Mohd Asri, Isu Tajassus Dalam Operasi Pencegahan Mungkar, http://drmaza.blogspot.com/2007/02/isu-tajassus-dalam-operasi-pencegahan.html retrieved January 14, 2010

Semoga bermanfaat. Wallahu'alam

0 comments

Leave a Reply