You Are Here: Home - Fikrah - Tujuh Dosa Besar - Kelima: Makan Harta Anak Yatim


Kuliah ringkas, 3 min 10 saat oleh Dr Mohd Asri(Loading agak lambat, harap maaf)

Hukum Kenduri Arwah

Soalan: Apakah agama menyuruh kita mengadakan kenduri atau jamuan sempena kematian seseorang yang dinamakan dengan kenduri arwah. Sesetengah ‘ustaz’ akan mencerca sesiapa yang tidak mahu buat dan menganggap sesiapa yang tidak buat kenduri arwah macam tidak menghormati mazhab al-Syafi’i. Apakah ini benar?

Jawapan: Sesuatu yang hendak dikaitkan dengan agama ini mestilah mempunyai dalil yang membuktikannya. Dalam masalah jamuan sempena kematian, sahabat Nabi bernama Jarir bin ‘Abdillah al-Bajali menyebut:

كُنَّا نَرَى الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنْعَةَ الطَّعَامِ مِنْ النِّيَاحَةِ

"Kami menganggap berhimpun kepada keluarga si mati dan menyediakan makanan termasuk dalam (hukum) al-Niyahah (meratapi mayat)" (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah; sanadnya sahih)

Berdasarkan kepada hadith, maka kenduri arwah bukan dari ajaran Islam, ia menyerupai perbuatan meratapi mayat yang dilarang oleh syarak. Maka, amalan itu adalah warisan jahiliyyah yang para sahabah elakkannya.

Malang sekali sesetengah pihak menganggap ini merupakan pendapat mazhab al-Syafi’i. Jawapan kita dalam masalah ini;

Pertama: pendapat siapa pun, mazhab apa pun jika berbeda dengan nas Allah dan rasulNya, maka apa yang ditegaskan oleh Allah dan rasul itu yang diperintahkan untuk kita pegang.

Kedua: karangan para ulama mazhab al-Syafi’i juga menunjukkan mereka tidak pernah menyukai perbuatan ini. Tokoh besar mazhab al-Syafi’i, al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) umpamanya dalam Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya: “adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai” (Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Mahazzab, 5/320, Beirut: Dar al-Fikr.)

Demikian tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi’i, antaranya al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji menulis dalam kitab mereka: “Daripada bid’ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati adalah mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya”.

Tambah mereka lagi: “Menyusahkan keluarga si mati dengan membuat makanan dan menghimpunkan orang ramai kepada makanan –seperti yang menjadi kebiasaan di zaman kini- adalah bid’ah yang bertentangan dengan sunnah dengan percanggahan yang amat sangat”. (Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 1/263, Damsyik: Dar al-Qalam).

Bahkan kitab-kitab jawi Nusantara juga bertegas dalam masalah ini. Antara apa yang disebut oleh Syeikh Daud al-Fatani dalam Bughyah al-Talab: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya” (Daud al-Fatani, Bughyah al-Talab 2/34). Demikian juga kenyataan yang sama dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin (m.s 87), al-Syeikh Idris al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi (7/130).

Kata Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah: Para imam (ilmuan besar) bersepakat tentang kemakruhan keluarga si mati menyediakan makanan untuk orang ramai lalu mereka berhimpun untuk jamuan tersebut. Demikian itu menambahkan kesusahan dan kesibukan keluarga si mati, juga menyerupai amalan masyarakat jahiliyyah. Ini berdasarkan hadis Jarir: “Kami menganggap berhimpun kepada keluarga si mati dan menyediakan makanan selepas pengebumian mayat termasuk dalam (hukum) al-Niyahah (meratapi mayat)”. Sebahagian ulama berpendapat perbuatan ini adalah haram”. (Fiqh al-Sunnah 1/508)

Maka perbuatan mengadakan kenduri sempena kematian adalah bid’ah, menyanggahi sunnah Nabi s.a.w.

ALLAH LEBIH MENGETAHUI
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Sumber: http://drmaza.com/himpunan_fatwa/?p=41 retrieved December 31, 2009
Tags: Fikrah

0 comments

Leave a Reply