You Are Here: Home - Manhaj - Petikan Kuliah: Manhaj Salafussoleh


Kuliah ringkas, 10 min 58 saat oleh Dr Mohd Asri(Loading agak lambat, harap maaf)

Manhaj salaf bukanlah suatu rekaan (dongengan) yang diada-adakan oleh pendahulu umat ini. Ia tertulis dalam al-Quran, hadis-hadis sahih dan di dalam syair -syair Arab. Manhaj Salaf adalah metodologi yang benar-benar dapat menyelamatkan akidah, ibadah dan akhlak umat Islam sejak zaman awal sahabat sehinggalah keakhir zaman. Kerana sesungguhnya manhaj salaf adalah manhaj yang dititi, dipegang dan digigit dengan gigi geraham oleh para sahabat, tabi’in, tabi’ut at-tabi’in serta mereka-mereka yang mengikut jalan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Manhaj ini adalah manhaj yang paling selamat.

Oleh itu ia wajib dipelajari, diketahui, difahami, dibela (disokong) dan menjadi mazhab setiap orang-orang yang beriman kepada agama Islam. Dengan memahami manhaj ini, seseorang dapat melaksanakan segala kewajipan yang disyariatkan dengan sempurna. Manhaj Salaf mengajar umat bagaimana meninggalkan segala larangan, mengamalkan segala suruhan, mengikut contoh tauladan serta memahami pemahaman sebaik-baik insan dan umat yang telah dilahirkan ke dunia. Hanya manhaj ini yang dapat menyelamatkan akidah, ibadah dan akhlak seseorang dari segala jenis bid’ah., khurafat, tahayul dan kesyirikan yang menyesatkan.

Tiada jalan dan cara yang paling selamat dan efisien untuk menyelamatkan umat, kecuali setelah mereka menyedari akan kebenaran dan selamatnya manhaj ini dan seterusnya menyandarkan pendisiplinan ilmu, akidah, ibadah dan akhlak mereka melalui manhaj yang telah dijamin oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala sebagai sebaik-baik manhaj. Ini telah dikhabarkan dalam firmanNya dan juga di dalam hadis-hadis Nabi-Nya sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

Manhaj Salaf telah dipelihara oleh wahyu dengan terpeliharanya al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Telah diamalkan dan dijaga dengan rapi terutamanya oleh generasi sahabat yang telah diredai dan dimuliakan oleh Allah Azza wa-Jalla. Manhaj Salaf adalah warisan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam kepada generasi yang termulia di kalangan umat manusia yang ada di dunia ini. Oleh yang demikian sewajarnya diingat bahawa setiap muslim perlu ada tiga dasar pada diri mereka agar menjadi Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf yang sebenar iaitu:

Pertama: Berpegang kepada kitab suci al-Quran sebagai Kitabullah yang berisi dalil-dalil qati’i dan hujjah-hujjah tauqifi.

Kedua: Berpegang teguh kepada al-Hadis yang sahih setelah al-Quran kerana ia adalah sunnah Rasulullah. Iaitu menyerah dan berpegang secara mutlak kepada nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Sama sekali tidak menolaknya. Tidak melaga-lagakan antara satu dengan yang lain. Tidak menyangkal dengan akal sebagaimana perbuatan Mu’tazilah, dengan perasaan sebagaimana Ahli Ahwa (Ahli Hawa Nafsu atau Ahli Bid’ah), dengan mimpi sebagaimana ahli sufi dan tarikat atau dengan ilham sebagaimana Ahli Falsafah. Dan tidak ada yang diutama dan didahulukan setelah adanya nas al-Quran dan as-Sunnah.

Ketiga: Berjalan (mengikut) atau bermanhaj Salaf as-Soleh dengan cara menyandarkan pemahamannya sama ada dalam persoalan akidah, ibadah, muamalah dan akhlak secara berdisiplin dan utuh. Dan semuanya ini diperolehi melalui bertalaqi (belajar dengan berguru, bukan semata-mata melalui buku atau mentala’ah kitab-kitab semata).

Sesiapa sahaja boleh mengaku sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah tetapi ia hanya benar-benar meniti jalan yang hak dan sempurna apabila berpegang kepada bahagian yang ketiga iaitu kembali kepada manhaj Salaf as-Soleh. Kerana manhaj ini selain dapat menyelamatkan iktiqad, amalan dan akhlak maka ia juga yang mampu menyatu- padukan umat dalam satu ikatan “Al-Jamaah”.

Manhaj Salaf akan menyelamatkan pengikutnya dari perpecahan yang berpunca berintima’ (menasabkan diri) kepada individu, kumpulan, golongan atau berbagai-bagi hizbi (kelompok perpecahan).

Artikel penuh, sila ke website dibawah. Semoga bermanfaat, Wallahu'alam

Sumber: http://www.rasuldahri.com/index.php?option=com_content&view=article&id=57:manhaj-salaf&catid=25:manhaj&Itemid=76 retrived November 8, 2009
Tags: Manhaj

0 comments

Leave a Reply